Pengarah THE MANDALORIAN, Deborah Chow Bakal Arahkan Filem MCU?

Filem, Media, Televisyen, Terkini

Ramai pengkarya filem hebat telah dijemput untuk mengarahkan musim pertama The Mandalorian. Tetapi setakat ini, boleh dikatakan hasil sentuhan Deborah Chow (Mr. Robot, Beauty and the Beast) telah benar-benar menarik perhatian ramai untuk siri Disney+ tersebut. Malah, beliau turut rasmi akan menerajui seluruh siri Obi-Wan Kenobi menerusi saluran strim yang sama.

Namun persoalan besar di sini adalah: Apakah mungkin sebuah naskah dari Semesta Sinematik Marvel (MCU) juga sudah siap sedia dalam perancangan Disney memandang Lucasfilm dan Marvel kini di bawah satu bumbung?

Begitulah khabar angin yang sedang kuat bertiup kencang di kala ini.

Beliau telah dilaporkan sedang berunding dengan Marvel Studios untuk beberapa potensi projek tetapi seperti yang sering berlaku sebelumnya, masih tidak pasti sama ada ianya adalah berita sahih ataupun tidak.

Bukan rahsia lagi bahawa Kevin Feige mahukan diversiti di belakang kamera untuk segala cerita yang disusun dalam MCU. Setakat ini, sebahagian besar pelan untuk Fasa 4 MCU telah pun rasmi. Sekiranya Deborah Chow dipilih sebagai sutradara, maka kemungkinan besar ia tidak akan berlanjutan hingga ke Fasa 5 atau seterusnya.

Deborah Chow turut pernah membuat penampilan khas (cameo) sebagai juruterbang pesawat X-Wing New Republic dalam Episod 6 ‘The Mandalorian’ sebagai Sash Ketter bersama dua lagi pengarah, Dave Filoni dan Rick Famuyiwa.

Buat masa ini, beliau akan sibuk untuk Obi-Wan Kenobi kerana produksi dijangka bermula tidak lama lagi (walaupun terdapat beberapa perubahan pada skrip dan sebagainya).