Categories
Uncategorized

LAPORAN BERITA HARI INI | 30 OGOS 2021

Chris Evans & Scarlett Johansson Kembali Bergabung untuk Filem Aksi Romantik GHOSTED!

Walaupun Steve Rogers dan Natasha Romanoff besar kemungkinan tidak akan kita lihat lagi di dalam MCU, pihak media hari ini melaporkan bahawa Chris Evans dan Scarlett Johansson sedang dalam rundingan akhir untuk kembali bersatu dalam Ghosted, sebuah filem aksi romantik berprofil tinggi terbitan AppleYB dan Skydance.

Pengarah Dexter Fletcher telah dilantik sebagai sutradara manakala skrip lakon layar ditulis Rhett Reese dan Paul Wernick, duo yang telah menghasilkan cerita untuk filem Deadpool, Zombieland serta filem terbaharu lakonan Chris Hemsworth, Escape from Spiderhead yang akan muncul di Netflix tahun hadapan,

Perincian plot filem tersebut masih belum tersedia.

Ini adalah kali kesepuluh Chris Evans dan Johansson membintangi bersama selepas The Perfect Score, The Nanny Diaries, The Avengers, Captain America: The Winter Soldier, Avengers: Age of Ultron, Captain America: Civil War, Avengers: Infinity War, Captain Marvel dan Avengers: Endgame tetapi akan menjadi kali pertama sejak The Nanny Diaries mereka digandingkan secara romantik.

Scarlett Johansson yang baharu melahirkan anak keduanya sedang bersiap sedia untuk membintangi filem seterusnya di bawah arahan Wes Anderson yang kini telah memulakan produksi di Sepanyol.

 


THE SUICIDE SQUAD Raih Kutipan Lebih $150 Juta, Ditabal Filem DC Comics Paling Laku HBO MAX!

Walaupun mendapat sambutan kritikal yang sangat positif, tayangan filem The Suicide Squad hanya berjaya mengumpul USD$4.6 juta pada hujung minggu lalu sekaligus meningkatkan jumlah antarabangsa menjadi USD$101.8 juta. Ia juga telah memperolehi USD$52 juta di Amerika Syarikat dan menjadikan jumlah kutipan global terkumpul sebanyak hanya USD$154.6 juta.

Kutipan kasa akhir filem ini dijangka akan mencapai sehingga USD$175-$ 200 juta.

Agak mengecewakan jika hendak dibandingkan dengan mana-mana blockbuster komik yang lain tetapi The Suicide Squad berprestasi jauh lebih baik untuk HBO Max.

Menurut organisasi analitik menonton, filem tersebut telah diikuti oleh 4.7 juta isi rumah di Amerika Syarikat dalam tiga hujung minggu pertama tayangannya, mengungguli Wonder Woman 1984 (3.9 juta) dan Zack Snyder’s Justice League (3.2 juta) untuk ditabalkan sebagai filem DC Comics paling banyak ditonton. Namun begitu, ia gagal mengejar filem Mortal Kombat (5.5 juta) dan Godzilla vs Kong (5.1 juta).

 


Reaksi Sulung Filem THE BATMAN Semasa Sesi Uji Tayang Dedahkan Kejutan Besar!

Selain dengan Spider-Man: No Way Home, filem The Batman boleh dikatakan filem adaptasi komik yang paling dinantikan sejak tahun lalu.

Dan salah satu sebab utama peminat begitu tertarik dengan kemunculannya adalah kerana filem ini masih banyak diselubungi misteri.

Kami turut tidak menyembunyikan keterujaan untuk mengetahui perkembangan lebih lanjut mengenai filem arahan Matt Reeves itu. Mungkin terdapat butiran baharu untuk dikongsikan bersama setelah ada laporan lewat malam daripada sumber-sumber media yang disertakan amaran spoiler.

Kami ulangi:

 

 

A
M
A
R
A
N

S
P
O
I
L
E
R

 

 

Ramai yang telah melabelkan pengarah Matt Reeves telah mempersembahkan sebuah jalan cerita yang cukup dramatik dengan filem itu digambarkan sebagai “sangat menggerunkan, ganas dan gori”.

Robert Pattinson sebagai Bruce Wayne/Batman, Zoe Kravitz sebagai Selina Kyle/Catwoman dan Paul Dano sebagai Edward Nygma/The Riddler telah menerima pujian melambung termasuk kelibat Batmobile baharu yang direka semula.

Paling menggemparkan adalah babak kredit bonus selepas filem tersebut tamat.

Ia turut dibintangi Colin Farrell sebagai The Penguin dan Andy Serkis sebagai Alfred Pennyworth.

Treler terbaharu filem ini dijangka akan hadir semasa acara DC FanDome pada bulan Oktober nanti dengan lebih banyak kejutan buat peminat.

The Batman bakal berada di pawagam pada 4 Mac, 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published.