Categories
Blog Komik

Mari Belajar Bahasa Inggeris dengan Komik! (15/2019)

Seorang pembaca merangkap pelanggan setia saya telah menghantar satu mesej video menerusi WhatsApp hari ini.

Ia memaparkan anak kecilnya yang masih berlampin sedang duduk membelek-belek komik sambil cuba menyebut dan menunjuk dengan tepat nama watak “Venom”. Saya memuji dan menggalakkan usaha ayah kepada anak kecil ini untuk mendidik menerusi komik sejak dari zaman awal kanak-kanak lagi. Saya sendiri banyak belajar daripada komik sejak usia kecil. Antara yang paling berkesan dan melekat sehingga ke hari ini adalah Bahasa Inggeris.

Komik banyak mendedahkan saya kepada pembelajaran bertutur, berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik dalam Bahasa Inggeris. Penggunaan tatabahasa dan pemahaman nuansa saya juga semakin cekap serta yakin apabila nilai pengajian bertambah sejak usia muda dengan semakin banyak komik yang dibaca tanpa pernah kenal erti jemu dan bosan.

Dan itu hanya satu sahaja dari faedah dari sudut bahasa dan lingua franca.

Komik adalah wacana serta wahana terbaik sebagai agen penyubur minda kreatif sejak usia kecil kerana ia terlalu mudah diakses sesiapa. Termasuk anak kecil berlampin yang mahu belajar siapa dan dari mana asal-usul Venom.

Ini Edisi UK Spider-Man Annual 1985. Naskah di atas sangat istimewa buat diri kerana seingat saya ia adalah komik rasmi pertama yang dibelikan oleh orang tua saya. Walaupun mereka bertegas supaya beli buku ABC atau 123 pada satu hujung minggu kami berjalan-jalan sekeluarga di Kuala Lumpur, saya tetap dengan pilihan saya pada hari tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.