Siri komik House of X dan Powers of X terbitan Marvel yang baru dilancarkan minggu ini bakal mempersembahkan banyak konten serba baharu dan halatuju sangat menarik demi masa depan X-Men.

Menurut penulisnya Jonathan Hickman yang hadir dengan gagasan penceritaan tahap frenetik untuk kedua-dua judul tersebut serta digabungkan pula dengan segala edisi varian dan cetakan semula, besar kemungkinan akan menyukarkan pembaca untuk membeli komik berdasarkan aturan dan susunan tepat pada setiap minggu.

Oleh kerana itu, beliau telah memperkenalkan sistem logo kod warna untuk kedua-dua siri komik tersebut bagi setiap keluaran dalam usaha membantu serta memastikan pembaca membeli komik yang betul setiap minggu.

Penulis yang pernah menghasilkan Secret Wars (2015) dan Infinity (2013) itu menjelaskan bahawa pembaca hanya perlu “lihat pada logo sekiranya terkeliru dan perhatikan pada indikasi berwarna merah, kuning dan biru”. Setiap logo akan terpampang judul komik, nombor isu/keluaran dan nama penulis serta pelukis.  Sistem ini akan memastikan yang peminat dan pembaca komik dapat mengikuti setiap jalan cerita dengan lebih mudah untuk salah satu atau kedua-dua siri di atas tanpa ketinggalan satu isu pun atau dengan secara tidak sengaja membeli isu yang sama.

Bermula dengan keluaran House of X #1 semalam, maka secara rasminya komik House of X dan Powers of X akan terbit setiap minggu selama tiga bulan berturut-turut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *