REVIEW | AQUAMAN (2018)

Filem, Komik, Review, Terkini

Aquaman merupakan satu-satunya filem yang ditayangkan tahun 2018 di bawah Semesta Sinematik Kembangan Filem DC (DCEU) selepas Wonder Woman (2017), Justice League(2017), Batman v Superman: Dawn of Justice (2016), Suicide Squad (2016) dan Man of Steel (2013).

Sejak pengumuman filem arahan James Wan (The Conjuring, Furious 7) yang dibintangi oleh teraju utama Jason Momoa, Amber Heard, Willem Dafoe, Patrick Wilson, Dolph Lundgren dan Nicole Kidman tersebut dilakukan, ramai yang skeptikal akan masa depan dan resepsi umum selepas persembahan tenggelam timbul DCEU sejak kebelakangan ini.

Akhirnya masa yang dinantikan telah tiba dan filem adiwira terhebat seluruh samudera raya ciptaan Paul Norris dan Mort Weisinger itu muncul dalam misi berterusan menyelamatkan DCEU!

1. Jason Momoa

Jika tidak kerana pemilihan beliau sebagai Arthur Curry/Aquaman, rasanya belum tentu wujud sebarang kelainan atau apa-apa keunikan dalam filem adaptasi komik atau adiwira Hollywood yang pernah dan akan hadir sebelum ini. Kredit untuk Zack Snyder di atas keputusan bijak ini kerana berani keluar dari cliché character dan block casting. Jason Momoa juga membuktikan bahawa setiap lakonan dan pembawakan watak perlu ada lapisan sahsiah serta keperibadian demi impak terbaik di mata penonton.

2. Rujukan Tepat Komik

Rujukan daripada beberapa judul komik popular Aquaman terbaru di bawah label DC New 52 tulisan Geoff Johns yang kebetulan adalah Ketua Pegawai Kreatif (CCO) DC Entertainment. Antara jalan cerita komik tersebut adalah The Trench dan Throne of Atlantis. Dijangka untuk sekuelnya nanti, ia akan merujuk kepada jalan cerita The Others yang diterajui Black Manta selaku seteru utama!

3. Bravo James Wan!

James Wan setuju menjadi sutradara filem ini asasnya disebabkan latarbelakang pengarah tersebut menerajui naskah-naskah gori, seram dan berpuaka seperti Saw, Insidious dan The Conjuring. Maka seorang adiwira yang berasal-usul dari sebuah tamadun misteri dan agam seperti Atlantis adalah amat menarik sekali. Tambahan pula, senario laut dalam yang gelap dan terlalu banyak tanda tanya pastinya adalah umpan sebenar yang telah memikat James Wan.

Oh. Buat mereka yang masih tidak mengetahui: James Wan dilahirkan di Malaysia dan berasal dari Kuching, Sarawak sebelum menjadi warganegara Australia dan kini menetap Los Angeles, California sebagai pembikinan filem sepenuh masa.

4. Filem Adiwira Paling “Sempoi”

Filem ini sebenarnya berdiri di atas kaki sendiri dan berdikari tanpa perlu berpaut pada plot cerita yang sudah berlangsung dalam DCEU sejak Man of Steel. Sesiapa pun boleh tonton Aquaman tanpa ada sebarang pengetahuan dan pengalaman menonton filem yang hadir sebelumnya. Secara peribadi, kami benar-benar mengharapkan dan membayangkan alangkah bagusnya jika Man of Steel mendapat sentuhan cerita berlegasi sebegini. Mudah, menarik, menghiburkan dan melakukan apa yang membuatkan Marvel Studios berjaya dengan francais Semesta Sinematik Marvel (MCU) mereka.

5. SFX Ampuh!

Kesan khas berbajet besar yang diaplikasikan dengan elok dan tersusun terutama sekali untuk babak dasar laut di Atlantis. Kebanyakan filem adiwira DC Comics banyak membazirkan peruntukan kesan khas dan tertumpu pada babak-babak yang tidak perlu. Babak-babak tempur adalah terbaik dan lebih baik jika dibandingkan dengan babak tempur dalam Justice League.

6. Daulat Raja Nereus!

Dolph Lundgren sebagai Raja Nereus adalah breakout character dalam Aquaman. Siapa sangka pemain watak Punisher, He-Man dan Universal Soldier ini memiliki sisi lakonan yang belum dipersembahkan sebelum ini.

7. Kembali Tersusun

Dengan review awal yang memberangsangkan dan positif, DC Comics dan Warner Bros. kini dapat menghela nafas lega dengan rekod baik sejak Wonder Woman dan filem-filem mendatang seperti Wonder Woman 1984, Shazam, Joker dan lain-lain yang sedang disusun. Ini membuktikan bahawa DC Comics dan Warner Bros. mampu menghasilkan filem adaptasi komik dan adiwira yang komersial dan disukai ramai.

8. Inventif

Semasa treler rasmi filem ini dipertontonkan, ramai yang membuat spekulasi bahawa ia mempunyai jejak cerita dan acuan sama seolah-olah filem Black Panther (2017). Mereka sama sekali silap. Kerana filem ini lebih daripada itu malah lebih inventif dan meninggalkan kesan tersendiri. Malah ada beberapa babak akan mengingatkan kita kepada plot Game of Thrones!

9. Titik Tolak Baru

Aquaman bukanlah sebuah karya epik dan masterpiece. Akan tetapi ia mempunyai formula dan idea hebat untuk menjana sebuah masterpiece atau mahakarya adaptasi komik dan mitologi adiwira bagi menandingi Semesta Sinematik Marvel yang sudah jauh meninggalkan DCEU.

10. Berhati-hatilah MCU!

Beberapa tahun dulu atau lebih ekstrem beberapa dekad yang lalu, tidak ada sesiapa pun akan percaya sebuah filem Aquaman akan muncul apatah lagi berjaya di pawagam dek kerana elemen dan skop cerita komiknya yang dangkal. Dengan kejayaan filem ini, maka tiada lagi had atau batas untuk kita melihat apa sahaja dalam format filem selepas ini. Dan percayalah bahawa Marvel juga akan tersentak untuk melakukan sesuatu yang unik serta luarbiasa usai dan selesai fasa Avengers: Endgame kelak.

RATING: 4.5/5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *