REVIEW | XX RAY III (2019)

Filem, Review

Untuk mana-mana penonton yang pernah hadir ke pawagam demi menjadi sebahagian daripada sejarah untuk XX Ray (1992) dan XX Ray II (1995) satu ketika dulu, maka pengumuman berita untuk pelengkap trilogi beberapa tahun lalu untuk filem ketiga tenyata mengghairahkan ramai orang di luar sana.

Dengan Fenomena (1990), Femina (1994), Fantasi (1994), Leftenan Adnan (2002), Azura (2012), duologi Puteri Impian (1997-98), pentalogi Senario (1999-2006), trilogi Gila-Gila Pengantin (2003-2005) dan puluhan filem malah ratusan lagi drama dan siri televisyen yang kini berada di dalam portfolio Aziz M. Osman sejak saya mula-mula mengenali beliau menerusi drama bersiri klasik popular Opah (1984), maka tidaklah keterlaluan jika beliau dianggap seorang pengarah cukup prolifik dan versatil.

Tidak cukup dengan anugerah dan pengiktirafan untuk sumbangan beliau dalam industri filem dan hiburan tanahair, ada pula di kalangan peminat menggelarkan beliau ‘Steven Spielberg/George Lucas Malaysia’.

Hampir 24 tahun kemudian, filem XX Ray III muncul di pawagam dengan keterujaan dan fanfare sana-sini.

XX Ray III adalah sebuah karya legasi.

Sebuah karya legasi lazimnya akan menjana dan membiakkan tiga perkara:

  1. Jalan cerita yang tiada penghabisan atau kesudahan
  2. Peminat setia dan pengikut fanatik sampai hujung zaman
  3. Pengkritik abadi yang sentiasa menunggu peluang untuk mengkritik

Maka filem ini pun akhirnya keluarlah di pawagam setelah tertangguh dan dinantikan sekian lama sejak pengumumannya. Reaksi awal penonton, blogger dan media rata-rata kurang sedap didengar. Ada yang kata filem ini teruk, tidak sama dengan dua filem asal, jalan cerita berterabur, bajet tidak cukup dan macam-macam lagi. Itu antara kesimpulan awal mereka.

Untuk ulasan filem lokal dan tempatan sulung 2019, saya merasakan XX Ray III hadir sebagai sebuah naskah berani.

Berani tatkala tidak banyak filem buatan Malaysia lain mampu muncul di pawagam tatkala bar atau standard kini diletak pada tahap tertinggi. Dengan kejayaan filem-filem box office mutakhir ini seperti Paskal, Hantu Kak Limah, Munafik 2 dan Polis Evo 2 sehingga mampu mencecah angka hampir RM50 juta kutipan tiket untuk satu-satu filem, kualiti produksi filem sekarang harus menyeluruh dan total. Dari semua aspek, dari semua sudut dan dari semua segi yang membuatkan bar atau standard itu tinggi.

Satu kunci utama kejayaan itu adalah jalan cerita.

Dengan mantera “Content is King”, bekalkanlah jutaan ringgit sekalipun untuk satu-satu filem itu walaupun ia sebuah produksi filem Hollywood: Kandungan cerita adalah segala-galanya. Plot. Set-up. Drama. Elemen kejutan. Permainan babak dan adegan. Falsafah. Tersurat dan tersirat. Perwatakan. Genre. Ini semua monumental dan penting demi melahirkan sebuah karya filem yang cemerlang dan jika bernasib baik ke tahap box-office.

Aziz M. Osman punya idea untuk lari dari konsep legasi dan dirasakan mahu menanggung risiko. Jalan cerita berlegasi pernah dilakukan berulang kali dan berjaya. Ada juga yang gagal. Contoh paling dekat yang saya boleh berikan sudah tentunya adalah Star Wars, Indiana Jones, Tron dan lain-lain lagi. Ada versi lama, ada versi baru. Ada yang OK. Ada yang K.O

Jadi di sini jujur saya katakan, naskah ketiga dalam legasi filem XX Ray ini tidak cukup ampuh bukan kerana tidak bagus atau tiada isi langsung. Ia terlalu kurang rencah ramuan asli yang menjadi kegemaran ramai kerana sekali-sekala saya suka mengibaratkan filem seumpama makanan kesukaan. Paling kritikal, ada penonton dan peminat enggan lepaskan mentaliti dan fahaman bahawa XX Ray dan XX Ray II wujud pada dua era berbeza.

Ingat: Kita ada XX Ray era Nizarman dan kita ada XX Ray era Ace Motion Pictures.

Itu belum cerita-cerita di belakang tabir lain yang kita semua tidak ketahui termasuk khabar angin yang berjaya masuk ke dalam telinga saya mengatakan bahawa filem ini sepatutnya tidak mahu diarah oleh Aziz M. Osman tetapi Syafiq Yusof**!

Jika dua filem awal tersebut saya lihat sebagai mendahului zaman dan meletakkannya sebagai mahakarya (masterpiece) terulung Aziz M. Osman dan sutradara revolusioner,  XX Ray III dukacitanya ketinggalan berada dalam kategori sama.

Ada beberapa punca dan sebab boleh dinyatakan di sini. Dan paling terasa dan kehilangan bagi saya secara peribadi adalah kemunculan pasukan antagonis yang kuat.

Saya rindukan kelibat Beragas dan Kublai seperti dalam XX Ray.

Saya mahukan ancaman Seri Bayu dan Guntur macam dalam XX Ray II.

Malah ada beberapa saat di dalam pawagam, saya berfantasi keras dan mengandaikan bersungguh-sungguh andaikata tiba-tiba berlaku plot twist durjana dan Saiful Apek adalah mastermind sebenar yang menjadi dalang utama terjadinya krisis sepanjang cerita. Malah lebih ekstrem, semua plot cerita dan semesta sinematik Aziz M. Osman yang ada kemunculan Saiful Apek sejak Senario the Movie (1999) wujud dalam satu kontinuiti mega dan watak Prono* yang pernah tampil sebagai cameo dan extra itu didedahkan sebagai “The Ultimate, All-Powerful, Eternal, Immortal Grand Evil Mastermind Ever”!

Ya. Fantasi saya memang keras-keras belaka.

Ia sejenis escapism untuk menenangkan diri dalam membuat ulasan ini supaya berhemah dan tidak melampaui batas.

Untuk penonton dan peminat filem ini: Bertabah dan bertenanglah. Kerana sepertimana kesudahan filem ini, it’s not the end of the world dan dunia belum kiamat lagi buat francais XX Ray.

Untuk Aziz M. Osman: Saya tahu dan yakin more is yet to come.

* Jika anda seorang peminat setia dan pengikut abadi semua karya-karya Aziz M. Osman, maka secara automatik anda akan kenal siapakah Prono. Beliau sebenarnya sudah layak mempunyai filem spin-off sendiri!

** Ya. Saya mahu melihat versi XX Ray III hasil sentuhan Syafiq Yusof dalam kehidupan atau realiti lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *