Categories
Blog

“Tak Sama Pun!” (16/2019)

Kadangkala kedengaran cakap-cakap orang dan aduan daripada peminat komik di luar sana tentang bagaimana mereka tidak berpuas hati dengan filem atau siri televisyen adaptasi sumber komik yang mereka tonton.

Ada yang mengadu seragam tidak sama seperti dalam komik.

Ada yang mengadu jalan cerita dan plot tidak serupa macam dalam komik.

Ada yang mengadu pengarah tidak kena, penulis skrip tidak pandai, penerbit pilih kasih dan macam-macam lagi.

Hakikatnya di sini sepertimana adaptasi filem lain selain sumber komik seperti permainan video, novel dan sebagainya bukan mudah serta senang untuk dipuaskan. Apatah lagi untuk sempurna dan ‘sedap’ seperti format asalnya. Sumber asal apabila telah dipindahkan ke dalam format berbeza pasti akan ada kelainan, jika tidak sedikit sudah tentu banyak demi menjaga isi kandungan dan kualiti filem/komik tersebut.

Isu sebenarnya di sini pada hemah saya bukanlah cara atau kaedah ia diadaptasi.

Ia bergantung pada tembolok selera masing-masing. Seperti menjamah makanan umpamanya. Ada yang suka makanan barat, ada yang suka masakan Thai, ada yang tidak suka makan di luar dan lebih senang masak di rumah sahaja.

Sebab itu Alan Moore marah betul bila DC Comics dan penerbit-penerbit lain mahu adaptasi karya komik beliau ke dalam format filem. Beliau tidak mahu sebarang masalah dengan peminat!