Categories
Filem Komik Televisyen Terkini

Siri Sekuel WATCHMEN Akhirnya Umum Tarikh Siaran Rasmi di Saluran HBO!

HBO telah mengumumkan tarikh siaran rasmi untuk siri televisyen Watchmen yang dinantikan ramai secara eksklusif menerusi saluran premium mereka pada tanggal 20 Oktober, 2019.

Siri sekuel adaptasi novel grafik klasik karya Alan Moore dan Dave Gibbons itu diilhamkan oleh Damon Lindelof (Lost, Prometheus, Stark Trek Into Darkness) yang turut hadir selaku penulis skrip dan penerbit.

Musim sulung untuk Watchmen dijaduakan untuk siaran selama 9 episod sahaja.

Sementara plot cerita masih lagi sulit dan disimpan rapi, siri ini tetap menampilkan barisan bintang ternama yang terdiri daripada Jeremy Irons, Regina King, Jean Smart, Don Johnson, Tim Blake Nelson, Louis Gossett Jr., Yahya Abdul-Mateen II, Adelaide Clemens, Andrew Howard, Tom Mison, Frances Fisher, Jacob Ming-Trent, Sara Vickers, Dylan Schombing, Lily Rose Smith dan Adelynn Spoon.

Seorang pelakon dengan reputasi besar dan dirahsiakan identitinya telah dipilih memegang watak Dr. Manhattan yang akan kembali ke bumi setelah beberapa tahun bertapa di permukaan bulan dalam kesudahan jalan cerita Watchmen asal.

Categories
Blog

“Tak Sama Pun!” (16/2019)

Kadangkala kedengaran cakap-cakap orang dan aduan daripada peminat komik di luar sana tentang bagaimana mereka tidak berpuas hati dengan filem atau siri televisyen adaptasi sumber komik yang mereka tonton.

Ada yang mengadu seragam tidak sama seperti dalam komik.

Ada yang mengadu jalan cerita dan plot tidak serupa macam dalam komik.

Ada yang mengadu pengarah tidak kena, penulis skrip tidak pandai, penerbit pilih kasih dan macam-macam lagi.

Hakikatnya di sini sepertimana adaptasi filem lain selain sumber komik seperti permainan video, novel dan sebagainya bukan mudah serta senang untuk dipuaskan. Apatah lagi untuk sempurna dan ‘sedap’ seperti format asalnya. Sumber asal apabila telah dipindahkan ke dalam format berbeza pasti akan ada kelainan, jika tidak sedikit sudah tentu banyak demi menjaga isi kandungan dan kualiti filem/komik tersebut.

Isu sebenarnya di sini pada hemah saya bukanlah cara atau kaedah ia diadaptasi.

Ia bergantung pada tembolok selera masing-masing. Seperti menjamah makanan umpamanya. Ada yang suka makanan barat, ada yang suka masakan Thai, ada yang tidak suka makan di luar dan lebih senang masak di rumah sahaja.

Sebab itu Alan Moore marah betul bila DC Comics dan penerbit-penerbit lain mahu adaptasi karya komik beliau ke dalam format filem. Beliau tidak mahu sebarang masalah dengan peminat!

Categories
Komik Terkini

Kemunculan Vladimir Putin dalam isu terbaru komik ‘Doomsday Clock’!

Tona dan tema dunia politik dalam Watchmen yang dicipta oleh Alan Moore nampaknya diteruskan lagi legasinya menerusi siri sekuel Doomsday Clock dengan memperkenalkan seorang figura global yang tidak asing lagi.

Menerusi isu #8, Vladimir Putin sendiri hadir membuat kemunculan setelah Firestorm secara tidak sengaja mengubah salah seorang rakyat Russia menjadi gelas!

Dan kesempatan ini telah digunakan oleh Presiden Russia tersebut untuk mengeksploitasi konspirasi “Teori Superman” untuk kelebihan politikal dan sentimen Anti-Amerika.

Doomsday Clock #8 kini telah berada di pasaran dan akan berakhir pada isu #12.