Categories
Blog

Tim Kai..?!! (17/2019)

Cuti Perayaan Tahun Baru Cina merupakan antara masa yang paling dinantikan oleh saya saban tahun selaku peminat filem Hong Kong satu ketika dulu.

Pada Tahun Baru Cina sepertimana cuti-cuti perayaan lain, pasti akan ada tayangan filem istimewa. Kalau dulunya sebelum saya pandai membeli tiket sendiri ke pawagam, saya akan ternantikan filem-filem blockbuster lakonan Jackie Chan dan Jet Li di semua saluran televisyen yang ada. Kemudiannya bila sudah pandai ke pawagam, semestinya terbitan filem terbaru yang tersangat saya tunggu adalah dari Mahaguru Komedi Perfileman Hong Kong iaitu Stephen Chow Sing Chi.

Saya masih ingat lagi filem pertama beliau yang ditonton secara tidak sengaja semasa saya kebosanan gila pada satu hujung minggu semasa bersekolah. Dengan secara rawak dan punya tidak ada apa-apa aktiviti menarik hendak dilakukan pada petang itu, saya telah tertengok Fight Back to School (1991).

Oh. Filem apakah yang saya sedang tonton ini? Komedi jenis dan tahap apakah yang sedang dipersembahkan ini? Dari celahan kotak manakah dup pelawak power bernama Stephen Chow dan Ng Man Tat keluar?

Terkesima dengan tahap gag, slapstick serta punchline yang ditonton tadi, saya tekad mahu ikuti beliaus sampai bila-bila.

Filem bagus beliau yang terakhir saya nikmati adalah Kung Fu Hustle (2004). Itupun adalah filem pertama beliau tanpa Uncle Tat. Kemudian kemunculan terakhir beliau di layar pawagam dalam CJ7 (2008) agak sederhana walaupun hampir mengecewakan. 2-3 filem selepas itu beliau hanya hadir sebagai penerbit, pengarah dan penulis skrip sahaja termasuk filem terbaru yang ditayangkan untuk Tahun Baru Cina ini iaitu The New King of Comedy.

Jujurnya saya rindu zaman kemasyhuran dan kegemilangan beliau. Entah ada zaman kebangkitan atau tidak, itu saya tidak pasti. Saya juga rindu beli tiket wayang pada Hari Raya Pertama Tahun Baru Cina dan duduk di barisan hadapan sekali di sebelah hujung panggung dewan kerana tidak mahu ketinggalan menantikan apakah idea cerita mahakarya jenaka terkini oleh beliau walaupun tahu pawagam sudah hampir 99.9% ‘full-house’.

Yang pasti, Stephen Chow dan segala komedi serta isi humor beliau adalah sukatan matalapelajaran yang masih saya pelajari dan ikuti sampai sekarang.