Categories
Blog

Kritik

Baru-baru ini saya telah dijemput untuk menghadiri gala perdana sebuah filem buatan tempatan.

Filem tersebut adalah antara filem yang paling dinantikan oleh peminat-peminat tegarnya sejak dari awal. Maka oleh itu, sudah tentu pengharapan serta hasil yang bakal ditonton mereka kelak bakal menjadi sesuatu yang menarik juga untuk dibincangkan apabila selesai menonton pada malam itu.

Lebih kurang 2 jam berlalu. Filem itu tamat ditayangkan seminggu lebih awal untuk tontonan eksklusif para tetamu jemputan, media, blogger, pemain industri dan peminat-peminat terpilih. Ianya adalah satu kelaziman untuk menghargai serta mula mencipta anjakan hype sebulan tayangan umum nanti. Disebabkan saya secara tidak langsung terbabit dalam produksi filem ini, isi cerita serta keseluruhan plot filem sudah saya tonton beberapa bulan jauh lebih awal dalam versi mentah (raw cut). Malah saya sendiri tahu sedari mula apakah rintangannya jika filem ini menjadi/tidak menjadi kelak.

Cakap-cakap tepi dan bisik-bisik orang yang saya dengar usai tayangan filem tersebut adalah:

  1. Filem sekuel ini teruk dan jauh meleset dari prestasi dua filem asalnya,
  2. Ianya bukan sebuah filem yang melambangkan identiti sebenar pengarah,
  3. Mereka mahu pelakon asal, jalan cerita asal dan enggan menerima acuan baru filem tersebut.

Disebabkan terlalu banyak anggapan dan kritikan, saya kasihankan pengarah itu.

Mungkin pada dasarnya bukan niat beliau untuk mengarah dan menghabiskan trilogi filem tersebut. Mungkin beliau terlalu baik hati dan mengikutkan sahaja kata peminat setianya yang tidak mahu legasi filemnya itu dihulurkan ke tangan orang lain. Mungkin tekanan masa, bajet dan idea menjadikan situasi sukar.

Atau mungkin saja saya tidak tahu apa cerita sebenar dan ada kejutan jauh lebih besar bila filem ini ditonton rakyat Malaysia beberapa hari sahaja lagi.

8/2019