Categories
Blog

Ada Apa Dengan Rotten Tomatoes?

Kadangkala saya kerap diminta memberi komen dan pendapat tentang sesebuah filem yang mendapat rating tinggi atau rendah daripada Rotten Tomatoes.

Sebagai sebuah portal pengumpulan review dan agregator filem yang dimulakan oleh tiga bekas mahasiswa universiti serta mempunyai sejarah ketidakseimbangan (dan mungkin juga berat sebelah memandangkan ada peratusan saham syarikat dimiliki oleh Warner Bros. dan NBC Universal), saya sama sekali tidak pernah ambil pusing akan apa jua yang diberikan apatah lagi diperkatakan oleh laman tersebut.

Mungkin sahaja saya sudah lama belajar menilai filem sendiri dan beroleh pendapat peribadi jauh lebih awal dari Rotten Tomatoes yang hanya lahir pada tahun 1998.

Atau mungkin sahaja saya menganggap ianya satu bentuk ancaman ataupun tongkat kepada mereka yang malas untuk mengulas filem sendiri dengan buah fikiran sendiri dan tanpa dirasuk oleh mana-mana anasir atau pengaruh yang langsung tidak mewakili filem yang ditayangkan secara bijaksana.

Atau mungkin sahaja ia tidak layak langsung untuk dirujuk selaku penanda aras utama bagi melabel bagus atau buruk sesebuah filem itu dek kerana sifatnya yang “ambiguous” itu.

Kredit: Vox.com