REVIEW | GLASS (2019)

Filem, Komik, Review, Terkini

Sebagai pengikut dan peminat setia M. Night Shyamalan sedari zaman awal ledakan kariernya menjadi ikon Hollywood bermula Sixth Sense (1999), saya memerhatikan ramai yang agak skeptikal selepas beberapa siri kegagalan filem-filem yang boleh dipersoalkan kredibilitnya.

Ya. Antara filem gagal yang dimaksudkan itu adalah Lady in the Water (2006) dan dikeruhkan lagi dengan The Last Airbender (2010) dan After Earth (2013).

Namun perlu diingat, sutradara yang banyak terpengaruh dengan gaya Alfred Hitchcock, mempopularkan kembali cameo pengarah dalam filem dan pendekatan supernatural kontemporari itu telah jauh mendahului industri dalam beberapa aspek penceritaan semasa. Ini termasuk filem-filem superhero arus perdana yang kita ikuti kini. Filem Unbreakable (2000) memulakan eksperimen beliau dalam menjejak kompleksiti superhero di dunia nyata dengan watak Robert Dunn dan Elijah Price.

Selang 16 tahun selepas filem itu, tidak ramai yang memberikan perhatian terhadap apa yang akan dilakukan oleh M. Night Shyamalan sehinggalah mereka menonton kesudahan filem Split (2016) yang telah membuka laluan kepada Trilogi ‘Eastrail 177’.

‘Eastrail 177’ merujuk kepada laluan keretapi yang mengakibatkan tragedi kemalangan dalam filem Unbreakable dan hubungan kesemua watak-watak yang beraksi menerusi filem Glass.

Terima kasih serta kredit kepada Jason Blum dan Blumhouse kerana memberikan ruang dan peluang demi menganjak kemampuan beliau semula ke tahap sepatutnya. Untuk pengetahun umum, Blumhouse merupakan studio produksi yang menerbitkan filem-filem bajet rendah dengan pulangan box-office berganda menerusi konsep kekuatan cerita seperti Get Out, Insidious, The Purge, Happy Death Day, Upgrade, Sinister, Paranormal Activity, The Gift dan filem reboot adaptasi komik Spawn pada tahun hadapan.

Sebagai ulasan lakonan, Samuel L. Jackson sebagai Elijah Price atau lebih dikenali dengan gelaran Mr. Glass tampil begitu bersahaja tetapi mengagumkan dengan rencana agam membuktikan teori superheronya sejak awal trilogi lagi. Bruce Willis sebagai Robert Dunn langsung tenggelam timbul perwatakannya dek kerana kekuatan watak Mr. Glass dan sudah tentunya kehebatan James McAvoy ‘menghidupkan’ 23 jelmaan personaliti Kevin Wendell Crumb yang digelar The Horde dengan terlalu cemerlang sekali.

Dengan naratif meta-tekstual tentang elemen psikologi superhero dan realiti peribadi manusia (baca: “delusions of grandeur”), saya yakin tidak ramai yang boleh dan dapat menghargai filem ini sepenuhnya. Ini termasuklah para pengkritik filem, jentera media sosial dan portal agregator ulasan filem yang rata-rata meletakkan markah rendah untuk Glass.

Apapun begitu, M. Night Shyamalan tidak pernah menyatakan trilogi ini adalah penamatnya.

Malah ada satu wawancara bersama pengarah tersebut mendedahkan sekiranya muncul idea atau inspirasi tertentu, beliau tidak akan teragak-agak untuk meneruskan cerita tersebut pasca ‘Eastrail 177’ terutama sekali selepas terbongkarnya Kesatuan Rahsia atau Secret Society persis S.H.I.E.L.D/Hydra yang dianggotai Dr. Ellie Staple lakonan Sarah Paulson.

Unbreakable Redux!

Blog

Salah satu filem yang amat saya nantikan sempena permulaan tahun baru 2019 ini adalah sebuah karya terbaru oleh M. Night Shyamalan berjudul Glass.

Ia merupakan pelengkap kepada “Trilogi Eastrail 177” yang bermula dengan Unbreakable (2000) dan Split (2016).

Saya begitu mengharapkan pengarah tersebut bangkit selepas beberapa setback yang beliau alami sebelum ini kerana M. Night Shyamalan adalah idola kegemaran saya pada satu ketika dahulu. Perhitungan di antara The Overseer/Protector, The Horde/Collective dan The Mastermind harus diselesaikan once and for all!