Masih adakah manusia di atas permukaan planet bumi ini yang masih tidak tahu lagi siapakah dia yang tinggal di dalam nanas di dasar lautan? (Who lives in a pineapple under the sea?)

Percaya atau tidak menurut sumber Nickelodeon, lebih USD$13 bilion produk yang berjenama dan berlabel SpongeBob SquarePants telah dijual sejak program animasi popular lagi berpengaruh itu mula diperkenalkan pada tahun 1999. Malah pelakon suara Rodger Bumpas yang beraksi sebagai Squidward pernah berkata koleksi beliau yang diakui sendiri sebagai “Koleksi SpongeBob SquarePants Terbanyak Di Dunia” sudah pun memenuhi segenap ruang di kediamannya dan tidak akan berhenti setakat itu!

Nickelodeon kini sedang meraikan sambutan ulangtahun ke-20 rancangan animasi kegemaran ramai tersebut dengan sebuah episod istimewa berjudul “SpongeBob’s Big Birthday Blowout” yang disiarkan pada hari ini. Yang menariknya tentang kisah kali ini adalah segmen aksi hidup (live-action) yang terlalu luarbiasa walaupun untuk peminat dan pengikut setianya.

Bintang utama, Tom Kenny yang melakonkan watak suara SpongeBob pernah muncul sebagai Patchy the Pirate in dalam segmen aksi hidup dalam episod-episod sebelum ini. Akan tetapi buat julung kalinya, beliau akan ditemani oleh Bill Fagerbakke (Patrick Star), Carolyn Lawrence (Sandy Cheeks), penulis skrip Doug Lawrence (Sheldon Plankton/Larry the Lobster) dan Clancy Brown (Mr. Krabs), kesemuanya memegang watak versi aksi  hidup yang “sama tetapi tidak serupa”.

Ia bukan sahaja merupakan sebuah episod tribut kepada semua bakat-bakat suara hebat sepanjang dua dekad lalu tetapi penghormatan kepada penciptanya Stephen Hillenburg yang telah meninggal dunia pada November tahun lalu akibat komplikasi ALS pada usia 57 tahun.

Petikan episod tersebut dapat anda tonton di bawah ini:

Fakta Menarik SpongeBob SquarePants:

• SpongeBob adalah berketinggian 4 inci.

• SpongeBob pada asalnya dinamakan SpongeBoy oleh pencipta Stephen Hillenburg.

• SpongeBob telah gagal ujian memandunya sebanyak 1,258,056 kali.

• SpongeBob telah menerima Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan Krusty Krab sebanyak 374 kali.

• SpongeBob boleh memasak Krabby Patty begitu pantas kerana kondisi kedwicekatan (ambidextrous) yang dihadapinya. Ini adalah kemampuan di mana penggunaan tangan kiri dan tangan kanan adalah sama cekap!

• Resipi Krabby Patties adalah rahsia dan sulit. Tetapi penciptanya, Stephen Hillenburg membayangkan bahawa kemungkinan besar pati burgernya adalah berdasarkan sayur-sayuran.

• Squidward hanya mempunyai enam kaki berbanding lapan kaki untuk seekor sotong kurita sebenar walaupun namanya adalah “Squid” bukannya “Octopus”

• SpongeBob alah kepada bunga tulip. Akan tetapi, kerajaan Belanda telah menamakan beberapa spesis baru bunga tulip sempena nama SpongeBob pada tahun 2010!

• Pada tahun 2011, spesies cendawan baru Spongiforma Squarepantsii dinamakan sempena SpongeBob.

• Squidward pada asalnya berwarna merah jambu.

• SpongeBob pernah beberapa kali menyelamatkan nyawa manusia. Pada tahun 2007, sebuah keluarga telah terselamat daripada bot tenggelam dengan berpaut pada bola sepak berjenama SpongeBob. Pada tahun 2012, seorang gadis berasal dari New York pernah menyelamatkan rakannya daripada mati tercekik kerana belajar Teknik Heimlich dari episod SpongeBob. Manakala seorang lelaki Australia yang hilang di lautan ditemui oleh helikopter setelah terlihat seluar pendek SpongeBob berwarna kuning menyala yang dipakainya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *