Categories
Blog

Trekkie! (14/2019)

Sekiranya ada yang bertanya sama ada saya ini seorang fanatik Star Wars atau Star Trek, saya akan jawab saya adalah peminat dan pengikut kedua-duanya.

Tetapi untuk rekod rasmi dan pengakuan jujur dengan penuh yakin lagi berani, maka saya mendedahkan buat pertama kali secara terbuka di sini bahawasanya ‘Trekkie’ adalah anutan awal saya yang terdahulu. Saya lebih dahulu mengenali Spock dan Kirk, Vulcan dan Klingon, Borg dan Q, Torpedo Photon dan Kelajuan Warp, Federation dan Enterprise serta bermacam lagi istilah serta gelaran yang datangnya daripada seorang revolusioner bernama Gene Roddenberry lebih kurang 53 tahun nan lalu. Opera angkasa bersiri mengenai pengembaraan anak kapal NCC-1701 USS Enterprise yang bermula dengan tiga musim versi asal (1966-69) itu begitu mempesonakan jiwa dan menggamit minda saya sebagai seorang pencinta fiksyen sains.

Namun pendedahan rasmi dan pertama saya bukanlah siri klasik era tersebut.

Ia bermula dengan Star Trek: The Next Generation pada tahun 1987 dengan pengenalan krew di bawah teraju Kapten Jean-Luc Picard lakonan Sir Patrick Stewart yang kini lebih dikenali sebagai pemegang watak Professor Charles Xavier dalam francais filem X-Men. Dan sepertimana siri televisyen popular kegemaran saya seperti MacGyver dan The X-Files, tidak satu pun musim atau episod cerita pengembaraan kapal kembara angkasa NCC-1701-D tersebut pernah saya tinggalkan sehingga musim dan episod penutup tirainya pada tahun 1994. Kemudian muncul pula beberapa spin-off lain seperti Voyager, Deep Space Nine, Enterprise dan kini Discovery termasuk 13 buah filem di layar pawagam.

Jika ada persoalan tentang mengapa Star Trek dulu dan kemudian Star Wars, sudah tentunya saya punyai banyak jawapan bersebab.

Satu jawapan yang paling saya suka berikan adalah: Seksi.

Star Trek adalah serba seksi. Paling seksi sudah tentunya versi reboot terbaru hasil sentuhan pengarah kegemaran saya, J.J Abrams yang telah ‘dicuri’ oleh kem Star Wars di kala ini. Itu belum lagi saya buka cerita bagaimana Star Trek lebih dahulu meramalkan kewujudan ciptaan telefon pintar, tablet dan trikoder.

Babak Akhir, Episod Akhir, Dialog Penutup
Star Trek: The Next Generation (1987-1994)
Musim 7, Episod 26: “All Good Things..”

“.. and the sky is the limit”

Leave a Reply

Your email address will not be published.