Categories
Blog

Ultraman (12/2019)

Ultraman (sebutan asal: ウルトラマン “Urutoraman”) merupakan antara idola serta ikon penyelamat dunia paling awal yang dikenali sejak sebelum saya masuk sekolah lagi.

Seingat saya, Ultraman Ace adalah pendedahan sulung kepada dunia tokusatsu ciptaan Jepun oleh Eiji Tsuburaya itu. Pada usia 5 tahun dan pertama kali menonton aksinya di kaca televisyen, jujurnya saya agak takut dan seram juga. Di dalam pemikiran dan otak saya yang masih membentuk pada ketika itu, saya tidak dapat membezakan siapakah yang lebih menggerunkan: Utraman atau raksasa Kaiju yang sedang saling bertempur itu. Rupa mereka sama hodoh dan buruk pada hemah saya, sekali lagi diulangi.. pada ketika itu.

Ini berlangsung selama hampir dua tahun sehingga saya masuk Darjah 1.

Mungkin kerana memori naif saya mengambil masa sedikit untuk membezakan rekaan superhero bukan manusia yang memiliki sepasang mata seakan makhluk asing/toyol dan berketinggian melampau sebesar bangunan.

Mungkin kerana minda mentah saya kurang berkenan dengan konsep dua manusia bernama Hakuto dan Minami boleh bergabung dan berubah (henshin) menjadi satu serta hanya datang minit-minit akhir untuk menyelamatkan kita semua. Ditambah pula dengan amaran lampu merah di dada yang menandakan hero sudah lemah dan akan kalah. Bagi saya pada ketika itu, hero tidak boleh kalah apatah lagi mati.

Atau mungkin sahaja lagu Ultraman Taro semasa saya Darjah 1 selepas itu lebih sedap dan menghiburkan berbanding lagu tema Ultraman Ace.

Leave a Reply

Your email address will not be published.